Arnab dan Kura-kura: The Twisted Story

Kesombongan seekor arnab kerana dirinya pantas berlari semakin bertambah bila melihat kura-kura yang berjalan perlahan. Sebagaimana cerita orang tua-tua, diejek-ejeknya sang kura-kura itu kerana jalannya yang perlahan. Sang kura-kura sabar sahaja menerima ejekan itu. Namun, semakin hari semakin seronok pula sang arnab mengejek-ngejek akan kura-kura hingga berlebih-lebihan pula.

"Bagaimana caranya aku ingin mengubat penyakit sombongnya itu?" fikir si kura-kura.

Seperti yang diceritakan oleh orang-orang tua kita, kura-kura mengajak arnab untuk berlomba lari. Sudah barang tentu ajakan ini menambahkan lagi ejekan arnab kepada kura-kura.

"Bodoh! Tak sedar siapa dirimu itu....bla...bla...bla..." semakin galak arnab mengejek kura-kura.

"Kalau tidak berlumba, apa bukti kata-katamu," kata sang kura-kura.

"Betul juga," fikir sang arnab.

Akhirnya diadakan satu perlumbaan dengan sang monyet menjadi pengadil. Arnab terus berlari dengan laju meninggalkan kura-kura di belakang. Sampai di pertengahan jalan arnab pun berfikir, "Kura-kura ni terlampau slow. Tiada saingan lansung. Kalau aku berehat lama pun aku boleh menang. Baik aku lepak sekejap di bawah pokok sana."

Oleh kerana terlalu konfiden, arnab pun tertidur. Sama seperti yang diceritakan oleh orang tua-tua kita. Kura-kura pula tetap berjalan dan berjalan walaupun perlahan dan akhirnya menghampiri garisan penamat di kala arnab masih tidur.

Tersedar sahaja dari tidurnya, arnab sungguh terkejut.

"Alamak!! Aku tertidur rupanya. Kura-kura tentu sudah hampir sampai. Malu aku kalau kalah. Malu!!"

Arnab terus berkejar ke garisan penamat dengan pantasnya. Dilihatnya kura-kura begitu hampir dengan garisan penamat, hanya 1 cm sahaja lagi. Tapi agak menghairankan kerana kura-kura kelihatan tidak bergerak dan membiarkan sahaja arnab memenangi pertandingan itu.

Arnab merasa gembira sekali dengan kemenangan itu dan terus mengejak kura-kura. Tapi monyet mencelah:

"Tahukah kau arnab, kura-kura sudah boleh menang tadi. Tapi bila tiba berhampiran garisan penamat, tiba-tiba dia berhenti. Sehinggalah kau datang meluru dan memenangi pertandingan ini."

Arnab yang kehairanan bertanya kepada kura-kura:

"Kenapa kura-kura? Kenapa kau melepaskan peluang keemasan untuk menang?"

Jawab kura-kura:

"Wahai arnab. Sebenarnya pada mula aku ingin menang kerana nak ajar kau serta nak membalas segala ejekan kau selama ini terhadapku. Aku ingin berkata, 'padan muka kau!'....tapi sekali kufikir-fikir...siapalah diriku? Sepatutnya yang memenangi pertandingan ini ialah kau dan bukannya aku kerana kau terlebih pantas larinya dariku. Lagi pun jika kau kalah sudah tentu kau akan malu besar dan anak cucu kita akan mentertawakan kau. Tapi kalau aku kalah tiadalah apa-apa... kerana aku memang sepatutnya kalah!!"

Bergenang air mata arnab mendengar kata kura-kura. Runtuhlah segala ke'ego'annya selama ini. Barulah dapat dia rasakan betapa salahnya mengejek kura-kura yang berjalan perlahan kerana itu sudah menjadi kehendak Allah Yang Maha Mencipta. Sambil memeluk kura-kura, arnab berkata terisak-isak:

"Kura-kura...hnnss..maafkan aku kerana mengejekmu dahulu. Mulai hari ini aku tidak mahu bersikap takbur lagi..."

Akhirnya hiduplah kedua spesis binatang itu di dalam hutan belantara dengan aman damai dan antara kedua keluarganya menjalinkan silaturrahim bermuafakat antara sesama mereka.

Tuan-tuan, bayangkanlah, jika sekiranya kura-kura tidak menahan hasratnya untuk menang, adakah penyakit sombong dalam diri arnab akan dapat diubati? Bukan sahaja tidak dapat diubati tetapi akan bertambah kepada penyakit dendam mendendam pula.

No comments:

Post a Comment