Seorang penternak, kerjanya membuat mentega dari hasil tenusunya. Tanpa cuti, penternak ini menjualkan hasil menteganya, seberat 1 paun setiap hari, kepada seorang pembuat roti.
Satu hari, sang pembuat roti, tergerak hatinya untuk menimbang mentega yang dibelinya setiap hari daripada penternak ini. Didapatinya, mentega yang dibeli rupa-rupanya tidak cukup 1 paun beratnya.
Amat marah bukan kepalang, akhirnya sang pembuat roti membawa kes ini ke mahkamah.
Lalu, Sang penternak dibicarakan:
Hakim bertanya kepada penternak, "Encik Penternak, apa jenis alat timbangan yang kau gunakan?"
Penternak ini menjawab terketar-ketar, "Maafkan saya, wahai Hakim Mulia. Saya seorang yang kuno. Saya tidak kenal nombor. Apatah lagi, saya kurang mahir guna alat penimbang."
Bertambah berang si pembuat roti, berkali-kali dia ingin bangun, tapi dihalang Tuan Hakim.
"Jadi, macam mana kau begitu yakin mentega yang kamu jual seberat 1 paun?" Siasat lagi Tuan Hakim ingin kepastian.
"Saya ada set dacing yang masih baik. Sebelum saya jualkan mentega ini, saya membeli 1 paun roti daripada Encik Pembuat Roti ini. Setiap hari selepas saya beli 1 paun roti darinya, saya terus gunakan dacing. Saya samakan timbangan roti itu, dengan beberapa biji batu. Daripada sejumlah batu inilah saya dapatkan nilai 1 paun."
Terkulat-kulat Sang Pembuat Roti mendengar hujah Si Penternak. Akhirnya, Si Pembuat Roti dijatuhkan hukuman kerana menipu sukat timbangan.
******
Kadang-kala, kita akan dapat semula apa yang kita beri di dalam hidup ini. Mungkin selama ini, kita jarang bertanya pada diri, "Adakah selama ini kita berikan nilaian setimpal dari apa yang pernah kita harapkan?"
Jujur dan khianat, keduanya jarang bersahabat. Ada orang yang khianat terus-terusan hidup dalam penuh penipuan, tanpa RASA BERSALAH. Ada juga di antaranya, yang sudah terlalu banyak menipu, hingga tidak diketahui lagi mana yang benar.
Akhirnya, mereka yang tertipu, adalah diri mereka sendiri.
Satu hari, kebenaran tertegak jua.
Dengan tangan kita.
Dan kehendak-Nya.
Amin.
No comments:
Post a Comment