Amalan Mudah Ketika Subuh

Berikut merupakan tujuh (7) amalan pada waktu Subuh, yang telah dipesan oleh Guru Mulia Ustaz Muhadir Hj Joll حفظه الله تعالى supaya jangan ditinggalkan oleh kita semua. Terutamanya, buat para penuntut ilmu. 


Jika tidak silap, itulah kuliah Subuh pertama yang disampaikan oleh beliau di Kompleks MATIN, sebelum terdapatnya pengajian kitab "Qalbun Salim Syarah Penawar Bagi Hati" dan "Sifat 20: Suatu Pengenalan Asas".


Kami merasakan ia sangat baik untuk dikongsikan, setelah membaca tulisan Guru Mulia Ustaz Muhd Shahir Al-Azhari حفظه الله تعالى yang bertajuk, "Apa Kita Buat Lepas Subuh". Tulisan yang sangat bermanfaat, menceritakan apakah amalan Al-Allamah Shaykh Dr. Yusri Jabr al-Hasani حفظه الله تعالى.


Tujuh perkara tersebut ialah:


1. Solat Sunat Fajar Dua Rakaat


Solat sunat tersebut didirikan sebelum solat fardhu Subuh. Pada rakaat pertama boleh dibaca Surah Al-Kafirun dan pada rakaat kedua boleh dibaca Surah Al-Ikhlas.


Ataupun kata Guru yang mulia, boleh dibaca seperti yang pernah disebutkan oleh Shaykh Ahmad Daud Al-Fathoni رحمه الله. Pada rakaat pertama boleh dibaca Surah "Alam Nashrah" (Surah As-Sharh). Pada rakaat kedua boleh dibaca Surah "Alam Tarakaifa" (Surah Al-Fil). 


(FAEDAH): Telah disebutkan juga oleh Mantan Mufti Negeri Kedah, Tuan Guru Dato' Paduka Shaykh Baderudin حفظه الله تعالى seperti yang disebutkan oleh al-Imam An-Nawawi رحمه الله تعالى di dalam kitab "Al-Azkar" bahawa, pada rakaat pertama boleh dibaca Surah Al-Baqarah ayat 136. Manakala, rakaat kedua dibaca Surah Ali-Imran ayat 64.


Kelebihan dua rakaat sebelum Subuh sangat besar sekali pahalanya. Daripada Sayyidatuna Aisyah رضي الله تعالى عنها, bahawa Sayyiduna Rasulullah ﷺ bersabda, 


رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا


Maksudnya: “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya.”


2. Solat Fardhu Subuh Berjemaah


Jika solat sunat sebelum Subuh pun, Sayyiduna Rasulullah ﷺ telah sebut sebagai "lebih baik daripada dunia dan seisinya", maka tentulah besar lagi kelebihan solat fardhu Subuh. Apatah lagi jika dilaksanakan secara berjemaah.


Disebutkan di dalam sebuah hadis yang mulia bahawa, solat fardhu Isyak secara berjemaah itu seperti separuh (½) bangun malam. Manakala, solat fardhu Subuh secara berjemaah itu seperti separuh (½) bangun malam lagi. Pahalanya seperti dia tidak tidur langsung pada malam tersebut, walaupun dia tidur.


(FAEDAH): Dalam Mazhab As-Syafie, jika terlepas berjemaah, solat boleh diulang kembali sebanyak sekali. Ia pernah dilakukan oleh Sayyiduna Mu'adz bin Jabal رضي الله تعالى عنه. 


3. Kekal Dalam Posisi Kaki 


Selepas memberi salam solat fardhu Subuh, kedudukan kaki jangan dirungkaikan. Melainkan, setelah selesai membaca wirid ini sebanyak sepuluh (10) kali:


لا إلهَ إلاَّ اللَّه وحْدهُ لاَ شَرِيكَ لهُ، لَهُ المُلْكُ، ولَهُ الحمْدُ، وَهُو عَلَى كُلِّ شَيءٍ


Maksudnya: "Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dan Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu."


Kedudukan kaki yang terbaik adalah duduk tawarruk (seperti kedudukan pada tahiyyat akhir). Kaki kanan ditegakkan dan kaki kiri diletakkan di bawah punggung. Jika tidak mampu, barulah duduk iftirasy (seperti kedudukan pada tahiyyat awal). 


(FAEDAH): Orang yang beramal dengan perkara tersebut akan ditulis baginya sepuluh (10) pahala, dipadamkan baginya sepuluh (10) dosa, diangkat baginya sepuluh (10) darjat dan menjadi pendinding daripada Syaitan. 


4. Membaca Wirid Ini Sebanyak 7 Kali


اللهم أجرنا من النار 


"Ya Allah peliharalah aku dari api Neraka."


(FAEDAH): Bagi sesetengah guru juga, mereka ada yang lebih cenderung untuk membaca dengan dhamir "saya" ( ي ) iaitu "اللهم أجرني من النار" sebagai mengambil manfaat terus daripada kalam Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Antaranya ialah Tuan Guru Shaykh Baderudin حفظه الله تعالى, Tuan Guru Baba Khairul Anuar Gajah Teriak حفظه الله تعالى dan Guru Mulia Ustaz Fisol Fazil حفظه الله تعالى. 


5. Membaca Doa Ini


اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا صَالِحًا مُتَقَبَّلًا


Di dalam doa tersebut, kita memohon tiga (3) perkara yang sangat penting iaitu, ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik (kata Guru yang mulia: walaupun sedikit, tetapi berkat) dan amalan soleh yang diterima oleh Allah ﷻ.


(FAEDAH): Terdapat tujuh (7) ciri "ilmu yang bermanfaat" seperti yang telah disebutkan oleh al-Imam Al-Ghazali رحمه الله تعالى di dalam kitab Bidayatul Hidayah (boleh dirujuk pada bab "Adab-Adab Setelah Terbit Matahari Sampai ke Waktu Gelincir Matahari"). 


Ketujuh-tujuh ciri tersebut telah disebutkan kembali oleh Al-Marhum Shaykh Abdul Somad al-Falembangi رحمه الله تعالى di dalam kitab "Hidayatus Salikin". Ia juga diucapkan oleh Tuan Guru Abuya Shaykh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki حفظه الله تعالى dengan bahasa yang lebih mudah iaitu:


a) Menambah ketakutan kepada Allah ﷻ

b) Mengetahui aib diri

c) Ibadahmu lebih bagus

d) Mengurang enakmu kepada dunia

e) Menambah gemarmu kepada akhirat

f) Mengetahui penyakit amalan

g) Mengetahui tipu helah syaitan


(FAEDAH): Kami juga pernah dipesan oleh Tuan Guru Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri حفظه الله تعالى, agar mengamalkan doa tersebut selepas membaca tahiyyat akhir dan sebelum daripada memberi salam ketika solat fardhu Subuh. 


6. Membaca Wirid Ini Sebanyak 3 Kali


سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، عَدَدَ خَلْقِهِ ، وَرِضَا نَفْسِهِ ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ


Maksudnya: "Maha suci Allah dengan segala pujian untukNya, sebanyak bilangan ciptaan-Nya dan keredhaan-Nya, dan seberat timbangan arasy-Nya, dan sebanyak dakwat (yang terpakai untuk menuliskan) kalimah-Nya." 


Sayyidatuna Juwairiyyah رضي الله تعالى عنها telah duduk di masjid selama lebih kurang satu jam 40 minit untuk berzikir. Kemudian, Sayyiduna Rasulullah ﷺ telah mengajarkan kepada isteri Baginda kalimah zikir yang tersebut di atas. Pahalanya lebih berat daripada semua timbangan yang telah dibacakan oleh isteri Baginda itu. 


(FAEDAH): Ia juga merupakan rutin pagi harian bagi sesiapa yang mengamalkan wirid yang telah disusun oleh para Aimmah seperti "Wirdul Latif" bagi Imam Al-Haddad رحمه الله تعالى ataupun "Al-Ma'thurat" bagi As-Syahid Imam Hasan Al-Banna رحمه الله تعالى. 


7. Solat Sunat Isyraq


Selepas solat fardhu Subuh secara berjemaah, diikuti dengan duduk berzikir kepada Allah ﷻ sehinggalah matahari terbit. Kemudian akhirnya, didirikan pula solat sunat Isyraq.


Pahalanya sama seperti orang yang menunaikan haji dan umrah dengan sempurna. Kata Guru yang mulia, ia adalah contoh Sayyiduna Rasulullah ﷺ merupakan seorang yang mempunyai perasaan sensitiviti ("iḥṣaṣ"). 


(TANBIH): Jangan solat pada waktu Syuruk. Kata Guru yang mulia, iaitu 1 jam 20 minit selepas waktu Subuh. Kerana pada waktu tersebut, berada pada waktu dua tanduk Syaitan. Ia adalah waktu tahrim (diharamkan solat). Waktu orang Majusi sedang menyembah matahari.


Waktu Isyraq pula terdapat dua (2) qaul. Pertama, selepas 16 minit masuk waktu Syuruk. Ia seperti yang disebutkan oleh Al-Allamah Habib Zein حفظه الله تعالى . Katakanlah waktu Syuruk pada 7.38 pagi. Maka, waktu Isyraq ialah pada 7.55 pagi.


Kemudian bagi qaul yang kedua pula ialah, selepas 17 minit masuk waktu Syuruk. Pandangan ini lebih berhati-hati ("ihtiyat") menurut Guru Mulia Ustaz Muhadir Hj Joll حفظه الله تعالى. Katakanlah waktu Syuruk pada 7.38 pagi. Maka, waktu Isyraq ialah pada 7.56 pagi. 


Manakala, Tuan Guru Shaykh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki حفظه الله تعالى pula ada menyebutkan bahawa tempoh Subuh adalah sekitar 1 jam 10 minit kepada 1 jam 15 minit dan waktu Isyraq ialah selepas 27 minit masuk waktu Syuruk.


Semoga Allah ﷻ melimpahkan rahmat ke atas Guru-guru yang mulia dan kita semua. Dan semoga kita juga dipermudahkan oleh Allah ﷻ untuk mengamalkannya.


Serta dijadikan Ramadhan pada kali ini, sebagai sebuah Madrasah Tarbiyah Ruhiyyah yang sangat bermakna buat kita semua yang mendambakannya. 


Amin. 


اشهد ان لا اله الا الله استغفر الله 

أسألك الجنة واعوذ بك من النار

اللهم انك عفو تحب العفو فاعف عنا يا كريم

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم 

والله اعلم


-Rasyid Al-Kinti


Hari Empat Satu,

4 Ramadhan 1441/

27 April 2020


https://t.me/RasyidAlkinti

From Blogger iPhone client

No comments:

Post a Comment