Amalan sunat adalah merupakan rahmat Allah kepada ummat Islam. Amalan sunat juga adalah pembeza di antara golongan yang bersungguh-sungguh menghampirkan diri dengan Allah dengan golongan yang acuh tidak acuh dalam mencari keredhaanNya.
Imam Ghazali berkata;
Allah menyuruh melakukan amalan wajib dan sunat . Maka amalan wajib itu seperti modal, dengan mengerjakan amalan wajib seseorang itu akan mendapat kejayaan (jika dilakukan dengan sempurna). Manakala amalan sunat pula adalah keuntungan , dengan amalan sunat itu, derajat seseorang itu diangkat oleh Allah.
Syeikh Zakaria al Ansori pula membandingkan amalan wajib seperti seorang perempuan yang cantik, manakala amalan sunat pula seperti perhiasan yang menyerlahkan lagi kecantikan wanita tersebut.
Dari segi bentuk arahan pula, bentuk arahan mengerjakan amalan sunat adalah sama dengan bentuk arahan mengerjakan amalan wajib, cuma tahap arahan sahaja yang berbeza iaitu arahan mengerjakan amalan wajib adalah secara tegas iaitu jika arahan itu tidak dikerjakan tanpa sebarang alasan, maka akan dikenakan siksa. Manakala arahan mengerjakan amalan sunat tidak secara tegas iaitu jika arahan itu tidak dikerjakan tanpa sebarang alasan, tidak dikenakan siksa tetapi diberi teguran.
Jenis Solat
Solat terbahagi kepada dua jenis iaitu solat fardhu dan solat sunat. Perbezaan di antara keduanya adalah seperti berikut:
1-Solat fardhu wajib dilaksanakan dan berdosa kalau ditinggalkan melainkan jika terdapat uzur syar’i seperti kedatangan haid.
2-Semua solat fardhu hendaklah dikerjakan secara berjemaah, manakala solat sunat pula tidak sunat dilaksanakan secara berjamaah melainkan solat sunat tertentu sahaja iaitu solat sunat hariraya korban, solat hariraya puasa, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih menurut pendapat jumhur .
3-Solat fardhu lebih afdhal dilakukan di masjid, manakala solat sunat pula sunat dikerjakan di rumah melainkan solat sunat yang sunat dilakukan secara berjamaah. Kaedah fiqh ada menyebut, setiap solat sunat yang sunat berjamaah , maka sunat dilakukan di masjid.
4-Ganjaran solat fardhu lebih besar dari ganjaran solat sunat.
5-Solat fardhu wajib diqodo’ jika ditinggalkan dengan tanpa keuzuran, manakala solat sunat pula tidak wajib diqodo’.
6-Sunat dilaungkan azan dan mengiqamah sebelum solat fardhu, manakala solat sunat pula tidak sunat dilaungkan azan dan iqamah.
Pengertian Sunat
Sunat ialah setiap perlakuan yang diberi ganjaran dengan melaksanakannya dan tidak berdosa jika ditinggalkan.
Walaupun dalam definisi di atas disebut tidak berdosa jika ditinggalkan, akan tetapi daripada huraian fuqaha’ dapat difahami bahawa perbuatan sentiasa meninggalkan sunat besar atau muakkadah atau meninggalkan perkara sunat yang menjadi syiar agama Islam menjadikan seseorang itu dihukum sebagai fasiq atau boleh dikenakan tindakan.
Menurut Imam Nawawi sebagaimana yang tercatat di dalam kitabnya Al Majmuk Syarah Al Muhazzab :
Barang siapa yang berkekalan meninggalkan amalan solat sunat atau bacaan tasbih rukuk dan sujud, maka penyaksiannya tidak diterima disebabkan dia tidak mengambil berat tentang urusan agama.
Menurut mazhab Hanafi, perbuatan meninggalkan amalan sunat besar (muakkad) adalah berdosa.
Ibnu Abidin berkata pendapat yang terkuat – dalam mazhab Hanafi – ialah berdosa meninggalkan sunat besar atau sunat muakkadah sebagaimana berdosa meninggalkan amalan wajib.
Pendapat ini disokong oleh al Allamah Anwar al Kashmiri . dan beliau telah mengemukakan beberapa hujjah yang menunjukkan perbuatan meninggalkan amalan sunat muakkadah adalah berdosa. Di antara hujjah-hujjah tersebut ialah perkataan Ibnu Mas’ud:
﴿ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَلْقَى اللَّهَ غَدًا مُسْلِمًا فَلْيُحَافِظْ عَلَى هَؤُلاَءِ الصَّلَوَاتِ ، حَيْثُ يُنَادَى بِهِنَّ ، فَإِنَّ اللَّهَ شَرَعَ لِنَبِيِّكُمْ سُنَنَ الْهُدَى وَإِنَّهُنَّ مِنْ سُنَنِ الْهُدَى ، وَلَوْ أَنَّكُمْ صَلَّيْتُمْ فِي بُيُوتِكُمْ ، كَمَا يُصَلِّي هَذَا الْمُتَخَلِّفُ فِي بَيْتِهِ لَتَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ وَلَوْ تَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ لَضَلَلْتُمْ ﴾
Barangsiapa yang mahu mengadap Allah pada hari kiamat kelak dalam keadaan gembira dan menyerah diri kepadanya dengan erti kata yang sebenarnya, maka hendaklah dia memelihara solat-solat ini ( solat fardhu ) bilamana ianya diazankan. Sesungguhnya Allah telah menetapkan untuk kamu sunnah petunjuk dan di antara sunnah pertunjuk itu ialah solat-solat yang tersebut tadi. Jika sekiranya kamu mengerjakan solat di rumah kamu sebagaimana orang yang tidak mahu hadir ke masjid mengerjakan solat di rumahnya, nescaya kamu telah meninggalkan sunnah nabi kamu. Jika sekiranya kamu meninggal sunnah nabi kamu kamu pastinya telah sesat.
Ibnu Mas’ud menamakan perbuatan meninggalkan solat berjemaah sebagai perbuatan sesat.
Sabda nabi s.a.w.
﴿ لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ ﴾
Demi Allah sama ada kamu membetulkan sof-sof sembahyang kamu atau Allah menjadikan kamu bercerai berai.
Menyamakan sof adalah sunat hukumnya, akan tetapi meninggalkan amalan tersebut menyebabkan terdedah kepada hukuman Allah iaitu perpecahan sesama sendiri. Ini adalah petunjuk bahawa meninggalkan amalan adalah berdosa.
Apa yang pastinya, mereka yang meninggalkan amalan sunat , diberi teguran oleh Allah sebagaimana hadis berikut:
﴿ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَا ابْنَ آدَمَ مَرِضْتُ فَلَمْ تَعُدْنِى قَالَ يَا رَبِّ كَيْفَ أَعُودُكَ وَأَنْتَ رَبُّ الْعَالَمِينَ. قَالَ أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ عَبْدِى فُلاَنًا مَرِضَ فَلَمْ تَعُدْهُ أَمَا عَلِمْتَ أَنَّكَ لَوْ عُدْتَهُ لَوَجَدْتَنِى عِنْدَهُ ﴾
Sesungguhnya Allah berfirman pada hari kiamat kelak wahai anak Adam, Aku sakit tetapi engkau tidak menziarahi Aku. Hamba berkata wahai tuhanku, bagaimanakah aku menziarahi Engkau sedangkan Engkaulah Tuhan sekelian alam? Allah berfirman adakah engkau tahu bahawa hambaKu si pulan sakit, tetapi mengapa engkau tidak menziarahinya!! Adakah engkau tidak mengetahui bahawa jika engkau menziarahinya nescaya engkau akan dapati Aku di sisinya Engkau akan dapati pahalaKu dan kemulianKu untukmu di sisinya.
(Maksudnya hambaKu yang sakit dengan sebab ketentuan Aku. Allah menyandarkan sakit kepadaNya untuk menunjukkan bahawa sakit bukanlah tanda kehinaan orang yang sakit.)
Meninggalkan Amalan Sunat Kerana Keuzuran
Orang yang tidak dapat melakukan atau tidak mampu melaksanakan perbuatan sunat dengan alasan yang sebenar ( uzur ) adalah dimaafkan. Bahkan dia diberi ganjaran jika dia benar-benar berazam untuk melakukannya. Ini berdasarkan hadis berikut:
﴿ مَنْ أَتَى فِرَاشَهُ وَهُوَ يَنْوِى أَنْ يَقُومَ يُصَلِّى مِنَ اللَّيْلِ فَغَلَبَتْهُ عَيْنَاهُ حَتَّى أَصْبَحَ كُتِبَ لَهُ مَا نَوَى وَكَانَ نَوْمُهُ صَدَقَةً عَلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ ﴾
Barangsiapa yang mendatangi tempat tidurnya, dalam keadaan dia berniat untuk bangun mengerjakan qiamullail, lalu dia tertidur sehingga ke waktu subuh, nescaya ditulis untuknya pahala apa yang dia niatkan ( pahala qiamuillail ) dan tidurnya itu adalah anugerah dari Tuhannya untuk si hamba tersebut.
Menurut al Baji, orang yang terjaga daripada tidurnya tetapi tidak dapat mengerjakan qiamullail kerana terlalu mengantuk juga diberi anugerah tersebut.
Hikmat Kewujudan Amalan Sunat
Hikmah kewujudan amalan sunat dalam Islam adalah seperti berikut:
1-Kewujudan amalan sunat dalam Islam adalah merupakan rahmat bagi hamba-hamba Allah. Ini disebabkan jika sekiranya dalam Islam hanya hukum wajib sahaja yang wujud, maka ramailah hamba-hamba Allah iaitu penganut agama Islam jatuh ke dalam kemaksiatan. Ini kerana bukanlah semua tuntutan syarak dilakukan oleh setiap mukallaf. Justeru dengan kewujudan tuntutan wajib dan tuntutan sunat, maka si mukallaf dapat menyelamatkan diri daripada kemaksiatan apabila dia tidak melaksanakan tuntutan syarak yang bersifat tuntutan sunat. Hal ini tidak berlaku jika semua tuntutan itu adalah tuntutan wajib.
2-Kewujudan amalan sunat adalah merupakan sebagai ujian kepada orang Islam sejauhmana dia bersungguh-sungguh mahu bertaqorrub kepada Allah. Adapun amalan wajib sememangnya si hamba terpaksa melakukannya sama ada dia mahu atau sebaliknya. Jika tidak dikerjakan amalan wajib sudah tentu dia akan diazab. Berbeza pula dengan amalan sunat jika tidak dikerjakan tidak mendapat dosa. Oleh itu jika si hamba melaksanakan amalan sunat , maka menunjukkan bahawa si hamba itu benar-benar bersungguh bertaqorrub kepada Allah. Ringkasnya amalan sunat tidak dikerjakan melainkan oleh mereka yang mantap imannya atau mereka yang mahu memantapkan imannya.
3-Amalan sunat disyariatkan bertujuan menampung kekurangan yang berlaku ketika amalan fardhu dilaksanakan. Pelaksanaan amalan wajib secara sempurna hanya berlaku ke atas diri nabi s.a.w. sahaja. Manakala ummat baginda s.a.w. pula terdedah kepada kekurangan. Untuk menampung kekurangan tersebut maka disyariatkan amalan sunat.
SEDUTAN DARI SYARAH BULUGH OLEH USTAZ TIRMIZI TAHA
No comments:
Post a Comment