Showing posts with label Catatan Masjid. Show all posts
Showing posts with label Catatan Masjid. Show all posts

Mati Muda

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ

*FB: DrMaza.com*

*Dia Mungkin Lebih Mulia*

Hari ini berita mengejutkan pengawal keselamatan Masjid Alwi meninggal dunia dalam usia yang masih muda. Hanya Allah yang  Maha Mengetahui hakikat setiap insan.

Adapun saya secara peribadi amat menyanjungi beliau. Walaupun tugasan hakiki beliau hanya mengawal masjid, namun beliau sering melakukan kebaikan lain seperti azan pertama subuh, mencuci masjid dan lain-lain. Zahir padanya kesungguhan dan keikhlasan amalan. Hakikatnya di sisi Allah. Jika kita datang awal ke masjid, kita dapati sebelum subuh menjelang beliau membaca al-Quran sambil memerhatikan kawalan beliau. Malam dan siang mencuci masjid walaupun itu bukan tugasan beliau.

Saya pandang tinggi kepadanya. Kadang-kala saya fikir alangkah indah hidup yang dilalui beliau dalam melakukan amalan soleh. Beliau tidak perlu bergelut dengan riyak, sum'ah dan banyak penyakit jantung hati yang lain. Beliau hidup dalam dunianya yang barangkali tidak dipandang oleh kebanyakan orang. Beliau tidak perlu sibuk bertarung dengan 'persepsi manusia', sebaliknya hanya menumpukan apa yang Allah mahu dari dirinya sebagai hamba Allah dengan kadar kemampuannya.

Dunia ini hanya perhiasan yang menipu. Kitalah menabalkan orang itu dan ini dengan segala kedudukan, pangkat dan gelaran. Namun, kesemua kedudukan, gelaran dan pangkat itu belum tentu mulia di sisi Allah. Entah betapa ramai yang telah men'syirik'kan Allah dalam amalannya disebabkan menjaga kedudukannya di sisi manusia melebihi keikhlasannya kepada Allah.
Entah betapa ramai pula yang kita lihat tiada kedudukan dan pangkat, namun lebih Allah kasihi dibandingkan kita. Mereka mungkin wali-wali Allah yang ikhlas, sedangkan kita mungkin sekadar munafik yang bersandiwara.

Saya sering berfikir untuk menemui orang seperti itu dan memohon mereka mendoakan untuk diri saya yang penuh dosa dan kelemahan ini. Pangkat yang ada hanya perhiasan dunia menipu. Entah siapa kita ini sebenarnya di sisi Allah.

Hakikatnya, hidup ini tidak memerlukan jawatan besar dan harta yang banyak untuk mendampingi Allah. Siapa pun insan itu,  dia hanya perlukan jiwa yang luhur dan ikhlas untuk menjadi hamba Tuhan yang baik. Dukacitanya, keikhlasan itu tidak mudah untuk dicapai oleh manusia yang berkedudukan. Kita terpaksa bermujahadah sepanjang masa menentang diri kita sendiri. Setiap pagi kita wajar berdoa 'Ya Allah berikan kepadaku keikhlasan sehingga aku tidak beramal soleh melainkan hanya untukMU'.

Saudara pengawal keselamatan itu meninggal dalam usia yang muda. Allah kasih kepadanya. Dia sering sendirian beramal dengan kadar dirinya. Dalam kesunyian pagi dia melaungkan azan tanpa gaji. Dia membersihkan masjid tanpa minta dipuji. Dia mengaji al-Quran tanpa mengharapkan suaranya  didengari. Alangkah indahnya hidup menjadi kekasih Ilahi. Mudah-mudahan demikian. Hakikatnya tersimpan di sisi Tuhan.

Catatan Tazkirah 01

Catatan Kuliah Magrib TG Zainul Asri Hj Romli, Surau Al-Hikmah Padang Midin.

Terlalu banyak perkara bermanfaat yang disebut oleh Syeikh sebentar tadi dan catatan ini diringkaskan dengan mengunakan ayat sendiri yang diambil daripada ucapan Syeikh Zainul Asri.
3 perkara penting yang disebut :-

1. Pertanyaan merupakan “miftahul ilmi” (pintu kepada ilmu pengetahuan). Antara bentuk sesuatu ilmu itu dimulakan dengan pertanyaan, terdapat banyak hadis dimulakan dengan pertanyaan, iaitu sahabat bertanyakan soalan kepada nabi. Begitu juga dengan Al-Quran, antaranya ayat berkaitan arak, haid dan lain-lain.

2. Doa merupakan ibadah, disebutkan didalam hadis qudsi bahawa sesiapa yang tidak berdoa, maka Allah marah kepadanya. Perbanyakanlah berdoa, kerana Allah sangat dekat dengan hambanya cuma kita merasakan Allah jauh dari kita, disebutkan didalam hadis bahawa Allah dekat dengan hambanya lebih dekat daripada urat tengkuknya, sehinggakan Imam Nawawi mehimpukan hadis-hadis berkenaan doa didalam kitab Al-Azkar.

3. Kemudian, Syeikh Zainul menceritakan pengalaman beliau menziarahi gurunya di Mesir iaitu Syeikh Muhammad, seorang ulama muhadith Mesir. Beliau disambut oleh Syeikh Muhammad selaku tetamu dirumah adiknya, sampai dihadapan pintu rumah, Syeikh Zainul melihat gambar bersaiz Syeikh Muhammad diletakkan di dalam rumah tersebut. Apa fiqh yang kita boleh ambil di sini ialah, cuba fikir rasa-rasa kita berani tak nak buat maksiat kalau gambar kita sendiri sedang tengok kita? Allahu Akbar. Sebab itulah Nabi menyebut, sekiranya kita melihat wajah ulama ia dapat menggugurkan dosa kita kerana mereka akan mengingatkan kita kepada Allah Swt.
Wallahu Alam.

الله المستعان،
أخي بسوتي.