Jika rumah tersebut bukan rumahnya dan dia hendak memasukinya, maka hendaklah dia meminta izin terdahulu , dan tidak halal memasukinya sebelum meminta izin dengan sepakat para fuqaha’, samada pintu rumah tersebut terbuka atau tertutup, samada terdapat penghuni di dalamnya atau tidak ada penghuni. Kerana firman Allah swt dalam surah al Nur ayat 27:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّى تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَى أَهْلِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
27. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).
Arahan meminta izin itu juga kerana rumah mempunyai kehormatannya, oleh itu tidak harus dicerobohi kehormatan tersebut.
Arahan meminta izin tersebut bukanlah hanya untuk penghuni rumah tersebut semata-mata tetapi juga untuk penghuni dan harta benda mereka. Ini kerana manusia menjadikan rumah sebagai tempat berlindung bagi hartanya sebagaimana mereka menjadikannya tempat melindungi diri mereka sendiri.
Sebagaimana dilarang orang lain mengintai individu lain, makruh juga mengintai harta bendanya.
Mazhab Shafei membezakan keadaan rumah milik mahram ketika tertutup dan ketika terbuka . Jika pintu rumah mahram tertutup, tidak harus masuk ke dalamnya melainkan setelah diminta izin dan setelah mendapat keizinan .
Jika sekiranya pintu terbuka maka terdapat dua pendapat:
Pendapat yang terkuat ialah hendaklah diminta izin terlebih dahulu sebelum memasukinya.
Secara umumnya dikecualikan meminta izin untuk memasuki sesebuah rumah dalam keadaan berikut:
PERTAMA
Memasuki rumah tiada penghuni yang terdapat harta@sesuatu yang bermanfaat di dalamnya. Maka harus memasukinya tanpa meminta izin terlebih dahulu. Keharusan tersebut adalah berdasarkan keizinan umum memasukinya. Namun begitu terdapat kekhilafan dalam menentukan rumah yang dimaksudkan itu.
Menurut Qatadah,Muhajid,al Dahhak,dan Muhammad bin al Hanafiyyah rumah tersebut ialah rumah yang dibina di jalan-jalan yang disinggahi oleh orang yang musafir,dan rumah persinggahan juga menyamai hukum rumah tersebut.
Menurut al Hasan al Basri,Ibrahim al Nakhaei dan Ali al Sya’bi, rumah tersebut ialah kedai-kedai di pasar. Ali bin Abi Talib pernah berteduh dalam khemah yang terletak di sebuah pasar milik orang Parsi kerana berlindung dari hujan tanpa mendapat keizinan daripadanya terlebih dahulu.
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa beliau meminta izin untuk memasuki kedai-kedai di pasar, apabila perkara itu disebut kepada Ikrimah , beliau berkata siapakah yang sanggup melakukan apa yang dilakukan oleh Ibnu Umar?
Berkata al Jassas perbuatan Ibnu Umar tersebut bukanlah dalil bahawa dia berpendapat memasuki tanpa meminta izin adalah dilarang. Akan tetapi Ibnu Umar berihtiyad untuk dirinya. Perkara tersebut adalah harus untuk semua orang.
Menurut ‘Ato rumah tersebut ialah rumah yang telah roboh yang dimasuki oleh orang ramai untuk membuang air besar dan kecil.
Diriwayatkan daripada Muhammad bin al Hanafiyyah juga rumah tersebut ialah rumah di Mekah.
Imam Malik menjelaskan dalil pendapat Muhammad bin al Hanafiyyah dengan berkata; Muhammad bin al Hanafiyyah mengharuskan masuk ke dalam rumah di Mekah tanpa meminta izin dengan alasan rumah di Mekah tidak boleh dimiliki, bahkan ianya adalah dimiliki oleh semua orang.
Jabir bin Zaid menyamakan rumah tanpa penghuni dengan tempat yang terdapat padanya manfaat yang diperlukan oleh orang yang memasuki ke tempat tersebut.
Mazhab Maliki berpegang dengan uruf dalam mengemukakan pendapat mereka itu. Mereka berpendapat harus bagi seseorang memasuki tanpa meminta izin setiap tempat yang boleh didatangi oleh orangramai seperti masjid,tempat mandi air panas,tempat persinggahan,rumah orang alim,rumah qodi,rumah ahli perubatan iaitu-iaitu tempat yang dikunjungi oleh orangramai kerana terdapat keizinan am untuk memasuki tempat-tempat tersebut.
WALLAHUA’LAM
No comments:
Post a Comment