Dari Mundzir bin Jarir r.a., dari bapanya, katanya:
"Pada suatu pagi ketika kami berada disamping Rasulullah saw., tiba-tiba datang serombongan orang tanpa kasut, dan berpakaian selembar kain yang diselimutkan ke badan mereka sambil menyandang pedang.
Kebanyakan mereka bahkan mungkin seluruhnya berasal dari suku Mudhar.
Sebaik sahaja melihat mereka, wajah Rasulullah saw. berubah kerana terlalu sedih melihat kemiskinan mereka.
Baginda masuk ke rumahnya dan kemudian keluar pula. Maka disuruhnya Bilal azan dan qamat, sesudah itu Baginda pun solat. Sesudah solat Baginda berpidato.
Baginda membacakan firman Allah:
"Hai, manusia! Taqwalah kepada Tuhan mu yang menciptakan kamu daripada satu diri; dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; kemudian daripada keduanya Allah mengembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai.
Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan menyebut nama-Nya kamu saling meminta di antara satu sama lain; dan peliharalah hubungan silatulrahim; sesungguhnya Allah selalu mengawasi kamu." (An Nisa' : 1)
"Hai, orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk (bekalan) hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al Hasyar : 18)
Mendengarkan khutbah Nabi saw. itu, serta merta seorang lelaki tampil menyedekahkan wangnya, pakaiannya, segantang gandum dan segantang kurma, sehingga Nabi saw. bersabda: "Sekalipun (hanya dengan) sebelah buah kurma."
Maka datang pula seorang lelaki Ansar membawa sebuah kantong yang hampir tak tergenggam oleh tangannya, bahkan tidak terangkat.
Demikianlah, akhirnya orang-orang lain pun juga turut mengikuti memberikan sedekah mereka, sehingga kelihatan olehku sudah terkumpul dua longgok makanan dan pakaian,
sehingga kelihatan olehku wajah Rasulullah saw. menjadi cemerlang bagaikan bersepuh emas.
Maka bersabda Rasulullah saw.,
"Barangsiapa *(menunjukkan contoh) mengerjakan pekerjaan baik di dalam Islam,* maka dia memperoleh pahalanya daripada orang yang mencontoh perbuatannya itu, tanpa mengurangi pahala mereka masing-masing.
Dan siapa yang (mula-mula) melaksanakan pekerjaan jahat, maka dia akan mendapat dosanya, *ditambah dengan dosa orang-orang yang mencontoh perbuatan buruknya itu*, tanpa mengurangi dosa mereka masing-masing."
_- Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0974._
No comments:
Post a Comment