Kepada peminat filem Allahyarham TS. P. Ramlee mungkin masih ingat akan lirik lagu daripada filem Madu Tiga iaitu;
_"Mesti pandai berbohong, mesti pandai temberang.."_
Masyaa Allah... di sebalik lirik lagu tersebut rupa rupanya adalah terselit salah satu perkara bohong yang dibolehkan iaitu _"berbohong untuk kebahagiaan dalam berumahtangga."_ Hal ini jelas dalam hadis berikut iaitu;
Dari Ummu Kaltsum binti Uqbah bin Mu'aith r.a (dan dia termasuk perempuan yang turut berhijrah dalam kumpulan pertama yang berbai'at kepada Rasulullah SAW) bahawasanya dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, _"Orang yang mendamaikan pihak pihak yang bertikai, orang yang berkata demi kebaikan, dan orang yang membangkitkan kebaikan bukanlah termasuk pendusta."_
Ibnu Syihab berkata, _"Saya tidak pernah mendengar diperbolehkan dusta yang diucapkan manusia kecuali dalam tiga hal, iaitu dusta dalam peperangan, dusta untuk mendamaikan pihak pihak yang bertikai dan dusta suami terhadap isteri atau isteri terhadap suami (untuk meraih kebahagiaan atau menghindari keburukan)"_
Dalam riwayat lain dikatakan, Ummu Kaltsum berkata, _"Saya tidak pernah mendengar Rasulullah SAW memberikan pengecualian kedustaan yang diucapkan oleh manusia kecuali dalam tiga hal."_ (HR: Muslim)
Jelaslah kepada kita bahawa tiga perkara yang dibolehkan berdusta berdasarkan hadis di atas. Antaranya ialah berdusta untuk memperoleh kemenangan iaitu strategi dalam melawan musuh dengan pelbagai helah. Namun "tahap, batasan atau darjah" pendustaan atau pembohongan tersebut mestilah dirujuk kepada mereka yang lebih arif kerana dibimbangi buruk padahnya. Dalam kita mencari kebaikan, buruk pula yang menimpa.
Seorang pengkuliah ada memberikan contoh berdusta yang dibolehkan iaitu, _"Jika ada seseorang yang bermusuhan dan salah seorang daripadanya sedang bersembunyi di rumah kita. Sekiranya seterunya itu datang menanyakan adakah musuhnya itu ada di rumah kita, pada saat itu kita dibolehkan berbohong mengatakan "tidak ada" bagi mengelakkan pergaduhan yang mungkin boleh mengancam nyawa."_
Semoga hadis ini menjadi pengajaran dan panduan kepada kita dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya benar pesanan orang tua tua _"Jauh berjalan luas pemandangan, lama hidup banyak pengalaman, banyak mengkaji bertambah pengetahuan."_ Selamat menghadiri kuliah kuliah agama di masjid ataupun surau semoga dengan bertambahnya usia, bertambah juga ilmu di dalam dada dan mendekatkan kita kepada Allah SWT.
🌷 والله أعلم🌷
No comments:
Post a Comment