Kisah ini adalah kisah yang sebenar berdasarkan kepada hadith yang terdapat di dalam kitab Sahih al-Bukhari.
Pada zaman dahulu, terdapat seorang peniaga yang sangat jujur dan amanah dalam perniagaannya. Peniaga itu juga merupakan seorang yang sangat takut kepada Allah Ta’ala dan sentiasa gementar dengan amaran dan azab-Nya. Di dalam sebanyak-banyak siri perjalanan perniagaannya, dia selalu berfikir ada baiknya jika dia menetap di negerinya sendiri dan berehat dari meneruskan perjalanan perniagaan yang telah sekian lama ia lakukan.
Di kala usia tuanya telah sampai, kesihatannya juga tidak berapa baik dan uban telah memenuhi kepala dan janggutnya, maka dia berhasrat untuk mencari sebuah rumah yang dirasakan sesuai seraya ianya dapat memberi ketenangan kepadanya sepertimana yang dia impikan sebelum ini. Dengan itu dia telah pergi menemui seorang lelaki yang ingin menjual rumahnya dan memberitahu lelaki tersebut yang dia ingin membeli sebuah rumah tersebut. Ternyata lelaki itu mahu menjualnya dan peniaga itupun dengan tidak berfikir panjang membelinya.
Hari pun berlalu dengan pantas, peniaga tersebut masih tinggal di rumah yang dibelinya. Satu ketika, apabila peniaga itu melihat kepada salah satu dari dinding rumah tersebut, dia berkata kepada dirinya : Kalau aku pecahkan dinding ini nescaya kawasan rumah aku menjadi lebih luas dan lapang, maka dengan itu seharusnya aku menggunakan kapak untuk memecahkannya. Lalu peniaga itupun mengambil kapak lantas memecahkan dinding tersebut. Bilamana ianya dipecahkan dengan tidak semena-mena peniaga itu terkejut dengan sesuatu yang sangat luarbiasa dan ajaib di mana ia terjumpa dengan sebuah takar yang penuh dengan emas. Peniaga itu berkata di dalam hatinya : Ya tuhanku, kesemua harta ini tertanam di dalam dasar dinding ini dan ianya bukan milikku. Maka tidak dapat tidak dan seharusnya aku mengembalikan kesemua harta tersebut kepada tuannya dan ianya lebih baik. Sesungguhnya aku tidak mempunyai sebarang hak ke atas harta tersebut kerana harta yang diambil secara haram ialah harta yang akan memberi mudarat dan tidak mendatangkan manfaat.
Setelah itu, peniaga tersebut membawa takar yang berisi emas itu kepada lelaki yang telah menjualkan rumahnya kepada peniaga itu dan meletakkannya di atas tangan lelaki itu seraya berkata : Ambillah takar yang berisi emas ini. Ianya aku temui di dalam dinding rumah ini ketika mana aku memecahkan salah satu dari dinding-dindingnya. Lelaki itu berkata : Ianya bukan milikku bahkan ianya menjadi milikmu. Aku telah menjual rumah ini kepadamu dengan segala yang ada di dalamnya. Maka berlakulah sedikit masalah kepada lelaki dan peniaga itu yang mana kedua-duanya enggan menerima dan mengambil takar yang berisi dengan emas itu. Lalu kedua-duanya pergi bertemu seorang qadhi di bandar itu. Qadhi itu berkata : Aku tidak pernah melihat sebelum ini lelaki yang sejujur kamu berdua dan yang lebih dari itu kamu berdua enggan pula menerima dan mengambil harta itu. Lantas qadhi itu bertanya : Tidakkah kamu berdua mempunyai anak? Maka jawab peniaga yang jujur dan amanah itu : Ya, aku ada mempunyai seorang anak perempuan. Lelaki itu juga berkata : Aku pula mempunyai seorang anak lelaki. Maka qadhi itupun berkata lagi : Kahwinkan mereka berdua dan bahagikan harta itu kepada mereka berdua dan masalah ini akan selesai dengan izin Allah.
Bila kedua-duanya mendengar keputusan dari qadhi tersebut, mereka sangat gembira dengan kebijaksanaan qadhi tersebut menyelesaikan masalah itu dan kedua-duanya bersetuju untuk mengahwinkan anak mereka dan membahagikan harta tersebut kepada mereka.
Diterjemah dari teks asal dalam Bahasa Arab oleh Ustaz Suhaimi Sulaiman, pelajar tahun akhir, UM
No comments:
Post a Comment