Kisah Tiga Pemuda

Kisah ini adalah kisah yang sebenar berdasarkan kepada hadith yang terdapat di dalam kitab Sahih al-Bukhari.



Pada zaman dahulu, di kalangan Bani Israil terdapat tiga orang pemuda yang mana salah seorang daripada mereka terkena penyakit sopak yang merupakan salah satu dari penyakit kulit. Jesteru pemuda yang kedua pula rambutnya sentiasa gugur manakala pemuda yang ketiga adalah seorang yang buta dan tidak dapat melihat. Suatu ketika Allah Ta’ala ingin mencuba dan menguji keimanan mereka bertiga lantas dengan itu Allah Ta’ala telah mengutuskan kepada mereka malaikat untuk maksud dan tujuan itu.

Pertamanya, malaikat itu tadi telah pergi berjumpa dengan pemuda yang terkena penyakit sopak dan berkata kepada pemuda itu : Apakah sebenarnya yang kamu suka? Maka jawab pemuda itu : Aku lebih suka jika kulitku ini lebih baik dari yang ada dan aku juga lebih suka jika warnanya tidak seperti ini. Sekalian manusia telah menjauhi diri mereka dariku kerana takut akan dijangkiti penyakit ini dan mereka takut untuk mendekatiku kerana kulitku ini kotor dan tercemar. Lantaran mendengar pengaduan itu, malaikat itupun mengusap kulit pemuda itu dan dengan serta merta penyakit itu hilang dan dengan tidak diduga kulit pemuda itu jauh lebih cantik dari sebelumnya. Malaikat itu berkata lagi : Apakah harta yang kamu sangat berkehendak untuk memilikinya? Berkata pemuda itu : Aku mahu memiliki unta. Maka lantas malaikat itu memberikannya seekor unta betina yang bunting seraya berkata kepada pemuda itu : Semoga Allah memberkati engkau dengannya.

Kemudiannya, malaikat tersebut telah pergi menemui pemuda yang kedua rambutnya dan mengajukan persoalan kepada pemuda itu : Apakah sebenarnya yang kamu suka? Maka jawab pemuda itu : Aku lebih suka jika aku dianugerahkan rambut yang cantik dan seboleh-bolehnya hindarilah keadaan yang aku alami sekarang daripada diriku kerana ramai manusia menjauhi diri mereka dariku. Lantaran mendengar pengaduan itu, malaikat itupun mengusap rambutnya dan ternyata rambutnya tidak lagi mengalami keguguran selepas daripada itu malah ianya lebih cantik dari yang sebelumnya. Malaikat itu berkata lagi : Apakah harta yang kamu sangat berkehendak untuk memilikinya? Berkata pemuda itu : Aku mahu memiliki lembu. Maka lantas malaikat itu memberikannya seekor lembu betina yang bunting seraya berkata kepada pemuda itu : Semoga Allah memberkati engkau dengannya.

Selepas melewati kedua-dua pemuda itu, maka malaikat itupun beredar dan pergi menemui pemuda yang terakhir yang mana pemuda tersebut adalah seorang yang tidak dapat melihat (buta). Persoalan yang sama juga telah diajukan kepada pemuda tersebut dengan berkata : Apakah sebenarnya yang kamu suka? Maka jawab pemuda itu : Aku lebih suka jika Allah Ta’ala dapat mengewmbalikan semula penglihatanku dan dengannya aku dapat melihat manusia dan suasana sekeliling. Lantaran mendengar pengaduan itu jga, malaikat itupun mengusap matanya dan dengan izin Allah Ta’ala pemuda itu dapat melihat semula. Kemudian daripada itu pemuda itu ditanya lagi : Apakah harta yang kamu sangat berkehendak untuk memilikinya? Berkata pemuda itu : Aku mahu memiliki kambing. Maka lantas malaikat itu memberikannya seekor kambing betina yang sihat buting seraya berkata kepada pemuda itu : Semoga Allah memberkati engkau dengannya.

Selepas melalui beberapa ketika, ketiga-tiga pemuda itu telah menjadi orang yang sangat kaya. Unta-unta, lembu-lembu dan kambing-kambing mereka telah membiak dengan begitu banyak. Pemuda yang pertama sangat sayang akan unta-untanya, yang kedua sangat sayang akan lembu-lembunya begitu juga yang ketiga terlalu sayang kepada kambing-kambingnya. Dan pada suatu hari, malaikat yang menemui mereka sebelum ini telah datang menjenguk keadaaan mereka dengan gambaran penyerupaan dalam bentuk yang sama ketika mana ia bertemu dengan ketiga-tiga pemuda itu diawal pertemuan dahulu. Pemuda yang pertama dijumpainya ialah pemuda yang dahulunya berpenyakit sopak. lalu malaikat itu berkata kepada pemuda itu : Sesungguhnya aku seorang pemuda yang miskin dan aku tidak sedikit pun mempunyai harta apatah lagi sedikit bekalan dalam perjalananku ini.

Tidak ada yang memadai dariapada kehidupanku hingga ke hari ini melainkan Allah Ta’ala dan juga engkau. Aku bermohon dengan tuhan yang telah memberikan engkau kulit yang cantik serta elok warnanya dan juga dengan harta yang telah kamu dapati dari-Nya seekor unta jantan yang dengannya dapat membantu aku untuk meneruskan perjalananku ini. Berkata pemuda itu : Sebenarnya aku banyak kepentingan dan aku tidak dapat untuk memenuhi permintaan kamu. Malaikat itupun berkata lagi : Sepertimana yang aku tahu tidakkah dahulunya engkau seorang yang berpenyakit sopak dan seluruh manusia menjauhkan diri mereka daripada engkau, kemudiannya Allah menyembuhkan engkau dari penyakit itu dan dalam pada masa yang sama Allah membebaskan engkau dari belenggu kemiskinan dengan memberikan engkau seekor unta betina yang bunting sehingga hidup engkau berubah menjadi seorang yang kaya-raya. Maka pemuda itu berkata lagi : Tidak, sesungguhnya segala harta yang ada ini telah aku warisi daripada ayah dan datukku. Maka malaikat berkata lagi : Baiklah jika benar apa yang engkau katakan dan jika ianya adalah pendustaan maka saksikanlah nanti apa yang Allah akan lakukan kepada engkau.

Kemudian malaikat itupun beredar dan pergi menemui pemuda yang kedua yang dahulunya keguguran rambut dan berkata kepada pemuda itu dengan perkataan yang sama yang telah diajukan kepada pemuda yang pertama dan ternyata pemuda itu juga sama pendiriannya dengan yang pertama menafikan segala yang Allah Ta’ala berikan kepadanya dan tidak mahu menolong malaikat tersebut. lantas berkata malaikat itu : Baiklah jika benar apa yang engkau katakan dan jika ianya adalah pendustaan maka saksikanlah nanti apa yang Allah akan lakukan kepada engkau

Sejurus selepas itu, malaikat itu pergi menemui pemuda yang ketiga yang dahulunya buta seraya berkata : Sesungguhnya aku seorang pemuda yang miskin dan orang yang sedang bermusafir. Aku sebenarnya telah terputus hubungan dan pergantungan di dalam perjalananku. Tidak ada yang memadai dariapada kehidupanku hingga ke hari ini melainkan Allah Ta’ala dan juga engkau. Aku memohon dengan tuhan yang telah mengembalikan penglihatan engkau agar dapatlahlah kiranya memberikan seekor kambing yang dengannya nanti dapat aku gunakan dan lantas menolong aku di dalam perjalanan. Maka berkata pemuda itu : Ambillah apa yang engkau kehendaki kerana aku dahulunya seorang yang buta, maka dengan izin Allah aku dapat melihat semula. Dahulunya aku seorang yang miskin, maka dengan izin Allah akan telah menjadi kaya. Dengan itu tidak salah jika sekiranya aku menolong engkau dengan sesuatu yang ianya adalah milik Allah dan ambillah ianya kerana Allah. Di kala mana mendengar perkataan yang diucapkan oleh pemuda itu, maka malaikat itupun berkata : Engkau ambillah harta ini aku sebenarnya tidak memerlukan pertolongan tersebut dan hakikatnya segala harta tersebut adalah ujian dan cubaan dari Allah Ta’ala yang diberikan kepada kamu bertiga dan ternyata Allah Ta’ala telah meredhai perbuatan engkau dan Dia amat memurkai perbuatan kedua-dua sahabat engkau itu.

Diterjemah dari teks asal dalam Bahasa Arab oleh Ustaz Suhaimi Sulaiman, pelajar tahun akhir, UM

No comments:

Post a Comment