Majoriti antara kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola. Tetapi sejauh manakah kita mengikuti jejak Baginda dalam urusan kehidupan seharian? Marilah sama sama kita renungi beberapa perkara yang sepatutnya menjadi ikutan dalam kehidupan membina Baiti Jannati mengikut acuan Rasulullah SAW;
1️⃣ Baginda SAW seorang suami yang soleh dan romantik. Sentiasa menolong dan menghabiskan masa bersama sama ahli keluarga dalam urusan seharian tetapi apabila kedengaran seruan azan, Baginda terus segera menunaikan perintah Allah SWT.
2️⃣ Baginda menjaga hati dan perasaan isterinya. Contohnya semasa berlaku peperangan dengan Bani al-Mustalaq, Sayyidatina Aisyah tercicir kalung yang dipakainya, lantas dicarinya sehingga terpisah daripada rombongan Rasulullah SAW dan para sahabat seterusnya timbul fitnah akibat peristiwa tersebut. Baginda hanya berdiam diri sehinggalah turunnya wahyu mengenai isu tersebut.
3️⃣ Baginda sering bergurau senda dengan isterinya. Antaranya berlumba lari dengan Sayyidatina Aisyah r.ha, minum dengan gelas bekas Aisyah dan mandi bersama Aisyah.
4️⃣ Baginda adalah contoh terbaik dalam keadilan memberikan layanan berasama sama dengan isteri isterinya dalam kehidupan berpoligami.
5️⃣ Baginda menghargai nasihat dan pandangan isterinya. Sebagai contoh, semasa perjanjian Hudaibiyah, ibadat Umrah tidak dapat ditunaikan kerana ditegah kaum kafir Quraisy dan Baginda menyuruh para sahabat bercukur, tetapi mereka tidak melakukannya. Baginda SAW meluahkan kegusaran kepada isterinya Ummu Salamah kerana para sahabat enggan bertahallul. Ummu Salamah mencadangkan supaya Baginda terlebih dahulu bercukur, lalu diikuti oleh para sahabat dan hasil daripada kebijaksanaan fikiran Ummu Salamah masalah tersebut selesai.
6️⃣ Baginda amat prihatin dengan isterinya. Tamsilannya, Baginda SAW menyuruh isterinya Safiyyah memijak ke atas bahunya untuk menaiki haiwan tunggangan supaya kain Safiyyah tidak terselak. Begitulah hebatnya seorang pemimpin yang sanggup berbuat sedemikian demi menjaga aurat isterinya.
7️⃣ Baginda sering menunjukkan kasih sayang kepada isterinya. Misalnya pada malam hari Baginda SAW pernah memangku Aisyah r.ha di atas ribaannya.
8️⃣ Baginda memanggil isteri isterinya dengan gelaran yang manja dan menyenangkan. Antaranya memanggil Aisyah r. ha dengan gelaran Humaira' ( Si pipi merah).
9️⃣ Kasih sayang Baginda SAW tidak berbelah bagi terhadap isterinya. Baginda SAW amat mencintai Sayyidatina Khadijah r.ha dan sentiasa menyebut nama arwah isterinya itu. Baginda SAW tidak bermadu melainkan setelah kewafatan Sayyidatina Khadijah r.ha. Manakala tujuan Baginda bermadu pula adalah demi menolong janda janda.
1️⃣0️⃣ Rasulullah SAW juga menjadi suri teladan datuk yang penyayang. Antaranya Baginda SAW sering mencium anak kecil, sentiasa menziarahi ke rumah anak perempuan Baginda dan suka bermain dengan cucunya Hassan dan Husain.
Demikianlah antara sifat Baginda SAW yang wajar diikuti dalam membina Baiti Jannati. Sesungguhnya benarlah firman Allah SWT bahawa tidak diutuskan Nabi Muhammad SAW melainkan menjadi suri teladan yang baik kepada umatnya!
🌷 والله أعلم🌷
No comments:
Post a Comment