Zaman Masing-masing Berbeza

Setiap manusia adalah produk zamannya sendiri. Kita boleh belajar hikmah dari sejarah. Tapi kita tidak boleh hidup atas legasi dan memori masa lalu.


Ya, kita tidak mampu mendepani cabaran hari ini dan membina masa depan dengan hanya taksub bernostalgia.


“Dulu kami begini dan begitu. Bukan macam kamu sekarang…”


“Kalau kamu hidup dalam zaman kami dulu, memang kamu akan lunyai, bla, bla…”


Setiap zaman ada gelora dan gelombang tersendiri. Mungkin kita dilambung dengan cara berbeza, tapi sakitnya masih sama.


Sebab itu jangan terlalu obses mau membanding-banding. Kita hormati orang yang lebih dulu makan garam. Tapi kita juga perlu sedar bahawa garam sekarang tidak sama dengan garam dulu-dulu.


Kita harus menerima hakikat perubahan dunia, dan menghadam tanda aras yang baru. Jangan terus dibuai nostalgia, dan terkepung dalam kenangan.


Seperti juga sukan Olimpik. Betul, Carl Lewis adalah antara raja pecut paling agung dalam sejarah olahraga dunia. Ingatan ini akan kekal selamanya.


Tapi jika Carl Lewis menyertai Olimpik tahun ini, sambil membawa kemuncak kegemilangannya pada era 80-an, bukan saja dia tidak boleh menang pingat emas.


Malah dia tidak mampu masuk final pun. Dalam pusingan semifinal lagi, dia sudah tersingkir awal-awal.


Namun demikian, perbandingan ini tidak adil, kerana seluruh ekosistem sukan, dulu dan sekarang tidak setara. Kita dendang Carl Lewis dan julang Noah Lyles mengikut eranya sendiri. Kedua-dua mereka agung dan terbilang pada zaman masing-masing.


#RemRefleksi

#MoveOnGenerasiKlasik


Perkongsian: FB Rem Dambul

From Blogger iPhone client

No comments:

Post a Comment